Blog SuperMak


Salam, entry ini adalah sambungan pada entry Perkembangan Bayi Dalam Kandungan – Trimester Pertama, alhamdulillah kandungan saya sekarang berada dalam Trimester yang kedua, syukur sangat-sangat alhamdulillah terima kasih Ya Allah.

perkembangan bayi pada trimester ke dua

Lebih kurang 4 bulan lagi Bayi dalam kandungan saya akan melihat dunia, doakan agar semuanya dipermudahkan, amin. Mari saya kongsikan Perkembangan Bayi Pada Trimester Kedua pulak.

Perkembangan Bayi Pada Trimester Kedua

Minggu Ke 14

panjang bayi anda adalah sekitar 3 setengah inci / 9 sentimeter, dan beratnya satu setengah auns / 43 gram. Sekarang, badannya membesar dengan lebih cepat daripada kepala. Di minggu ini, kulitnya yang halus senipis kertas itu menutupi badannya dengan lanugo (bulu halus dan lembut yang lazimnya gugur sebelum kelahiran). Walaupun bulu kening mula timbul dan rambut di kepala pun tumbuh, ianya boleh bertukar tekstur dan warna sebelum kelahiran.

Di masa ini, fetus boleh memegang, mengecilkan mata, mengerut dahi dan menyeringai. Ia juga mungkin boleh menghisap jarinya. Penyelidik percaya bahawa pergerakan-pergerakan ini dan yang lain mungkin berlaku beriringan dengan perkembangan impuls dalam otak.

Minggu Ke 15

Panjangnya dari kepala ke punggung hampir 4 inci / 11 sentimeter. Kaki membesar sehingga lebih panjang dari lengan, kuku sudah terbentuk sempurna dan semua sendi dan anggota boleh bergerak. Anda mungkin dapat mengetahui jantina bayi anda dengan ujian ultrasound, sebab genital luarannya sudah berkembang sehinggakan doktor sudah dapat memberitahu anda samada anak itu lelaki ataupun perempuan.

Minggu Ke 16

Saiz bayi anda sekarang lebih kurang sebiji avokado (panjang dari mercu kepala ke punggung sekitar 5 inci / 11.6 sentimeter dan berat sekitar 4 auns / 100 gram). Dalam tiga minggu ke hadapan ini ia membesar secara memecut, menambahkan beratnya dua kali ganda dan panjangnya beberapa inci.

Di dalam atau di luar rahim, bayi merupakan mahluk yang suka bermain. Bayi anda mungkin telah menjumpai mainan pertamanya – tali pusat – yang dia suka menarik dan mencekau. Kadangkala ia akan menggenggamnya begitu kuat menyebabkan jumlah oksigen yang lalu masuk berkurangan, tapi jangan khuatir – dia tidak memegangnya terlalu lama untuk memudaratkan. Sistem peredaran dan trek kencing sudah berfungsi sepenuhnya, dan dia menyedut masuk dan mengeluarkan cecair amnion melalui paru-parunya.

Kadangkala, apabila anda bergerak secara serta-merta, anda akan terasa sakit sedikit di sisi anda. Ligamen-ligamen di kedua belah uterus anda dan dinding pelvis sedang meregang ketika bayi anda membesar. Anda sudah tentu merasakan sakit-sakit ringan, tetapi sekiranya ia berlanjutan atau bertambah kuat, beritahu doktor anda.

Minggu Ke 17

Panjang bayi anda sekarang hampir 5.5 inci / 13 sentimeter dari mercu kepala ke punggung dan berat sekitar 5 auns / 140 gram. Hampir semua rangka tulangnya berunsurkan rawan liat, yang akan mengeras kemudian. Satu bahan pelindung bergelar myelin mula membalut korda spina dengan perlahan-lahan.

Dengan bantuan stetoskop khas, anda sekarang sudah boleh mendengar denyutan jantung bayi anda. Tiada yang lebih menyenangkan atau menguja daripada bunyi denyutan jantung bayi yang sedang menderap-derap. Pada hari-hari anda terasa bimbang tentang apakah kemajuan kehamilan anda, mendengar denyutan jantung bayi memberitahu anda yang dia sedang berkembang dan membesar. Pada masa-masa anda bosan dan terasa seolah-olah kehamilan anda tiada kesudahannya, ia memberi peringatan manis tentang apa yang akan disambut kelak setelah menunggu selama 40 minggu.

Uterus anda yang kian membesar telah mengalihkan pusat graviti anda dan anda mungkin merasa agak kurang seimbang. Berhati-hatilah dan pakailah kasut tumit rendah.

Minggu Ke 18

Panjang bayi anda sekarang sekitar 6 inci / 14.2 sentimeter dari mercu kepala ke punggung dan berat sekitar 7 auns / 190 gram. Dadanya bergerak turun naik seakan-akan bernafas tetapi dia tidak menyedut udara, hanya cecair amnion.

Scan ultrasound semasa trimester kedua menilai pertumbuhan dan perkembangan fetus, selain menapis beberapa kecacatan kelahiran, memeriksa plasenta dan tali pusat, dan menentukan samada jangkaan umur gestasi adalah tepat. Semasa skan ini, anda mungkin dapat melihat bayi anda membuat pergerakan menendang, membengkokluruskan badan, mencapai, bergolek atau menghisap jari. Bawalah suami bersama, tetapi samada dia turut bersama atau tidak, pastikan anda mendapatkan salinan gambar bayi dalam pelbagai gaya.

Jika bayi anda perempuan, vagina, uterus dan tiub falopio sudahpun berada di tempatnya. Jika ia lelaki, genitalnya adalah jelas dan boleh dicamkan. Jika kandungan anda lebih dari satu bayi, rujuklah bahagian tentang kembar dua atau lebih.

Minggu Ke 19

Anda sudah berada di pertengahan jalan! Bahagian atas uterus anda sudah mencecah pusat anda dan uterus akan membesar lebih kurang satu sentimeter per minggu. Ukuran fetus sekitar 6 inci / 15 sentimeter panjang dari mercu kepala ke punggung dan berat sekitar 9 auns / 240 gram.

Dia sudah mula menelan cecair amnion dan ginjalnya terus mengeluarkan kencing. Rambut atas kepala sudah mula tumbuh.

Perkembangan deria memuncak pada minggu ini. Sel-sel saraf yang bekerja untuk setiap deria – rasa, bau, dengar, lihat dan sentuh – sedang berkembang di ruang-ruang khusus di dalam otak. Penghasilan sel-sel saraf menjadi lebih perlahan apabila sel-sel saraf yang sedia ada menjadi besar dan membuat hubungan-hubungan yang lebih kompleks. Jika kandungan anda itu perempuan, dia sudahpun memiliki sekitar enam juta telur dalam ovari. Menjelang kelahiran, dia akan memiliki satu juta.

Anda akan merasakan tendangan dan pergerakan tunggang terbalik bayi anda yang kian membesar. Ada masa-masanya, dia terlalu banyak bergerak sehinggakan anda tidak dapat tidur. Sepuluh minggu ke hadapan ini merupakan masa paling sibuk dan aktif bagi bayi anda, tetapi ini akan berkurangan apabila rahim menjadi terlalu sempit. Tidak lama lagi, pasangan dua akan menjadi tiga dan banyak perubahan akan berlaku.

Minggu Ke 20

Bayi anda berukuran lebih kurang 6.5 inci / 16.5 sentimeter dari mercu kepala hingga ke punggung dan terus-menerus menambahkan berat badannya. Satu lapisan bahan yang licik dan putih bergelar verniks kaseosa mula membalut bayi anda dan melindungi kulitnya semasa dia berendam lama dalam cecair amnion. Ianya juga akan menyenangkan pelahiran. Pada minggu ini, bayi lebih banyak menelan dan ini merupakan latihan yang baik untuk sistem pencernaannya. Setelah bayi anda menelan cecair amnion, badannya akan menyerapkan air yang terkandung di dalamnya dan menyalurkan selebihnya ke dalam usus besar.

Minggu Ke 21

Berat bayi sekarang sekitar tiga-suku paun / 360 gram. Selama ini dia diukur dari mercu kepala hingga ke punggung tetapi mula dari masa ini dia akan diukur dari mercu kepala ke tumit. Dan dari mercu kepala ke tumit panjangnya ialah 10.5 inci / 27 sentimeter. Bulu kening dan kelopak mata telah tumbuh sepenuhnya dan kuku jari tangan sudah menutupi hujung jari.

Bayi anda sekarang boleh mendengar perbualan-perbualan anda. Jika anda bercakap, membaca atau menyanyi kepada bayi anda, dia pasti boleh mendengarnya. Beberapa kajian mendapati bahawa bayi baru lahir akan menghisap dengan lebih kuat apabila anda membacakan buku yang dia pernah dengar semasa dalam kandungan. Jika anda mahu mencuba, ambillah buku dan bacalah dengan kuat. Cuma pastikan yang anda tidak akan keberatan membacanya berulang-kali apabila bayi telah lahir. Ia mungkin akan menjadi cerita sebelum tidur yang paling disukai bayi anda untuk masa yang lama selepas dia dilahirkan.

Minggu Ke 22

Berat bayi sekarang hampir satu paun / 430 gram, dan dia berukuran hampir 11 inci / lebih sedikit dari 27 sentimeter dari mercu kepala ke tumit, dan sudah terbentuk seperti bayi baru lahir, tetapi kurus, sebab lemak bayinya belum datang lagi. Walaupun beratnya semakin meningkat setiap hari, kulitnya masih kelihatan berkedut-kedut dan dia masih perlu menambahkan berat badannya. Bibir sudah jelas kelihatan dan mata telah terbentuk, walaupun iris (bahagian mata yang berwarna) masih kurang gelap. Pankreas, yang sangat perlu bagi pengeluaran hormon, sedang berkembang dengan baik.

Minggu Ke 23

Berat bayi anda sekarang lebih sedikit dari satu paun / 500 gram dan dia berukuran lebih kurang 11.4 inci / 29 sentimeter dari mercu kepala ke tumit. Pendengarannya telah mantap sepenuhnya dan dia boleh mengecam satu versi suara anda yang pincang, selain bunyi denyutan jantung anda dan bunyi deram-derum perut anda. Bunyi-bunyi kuat yang boleh didengarinya dari dalam rahim, seperti bunyi anjing sebelah rumah menyalak atau bunyi tempikan pembersih vakum, mungkin tidak akan mengganggu anak anda apabila dia mendengarnya semasa dia di luar rahim. Kajian tertentu seakan-akan menyatakan yang bayi belum lahir lebih gemarkan muzik klasik.

Minggu Ke 24

Berat bayi anda lebih dari 1.3 paun / 600 gram. Walaupun dia mempunyai hanya sedikit lemak badan dan kulitnya nipis dan mudah pecah, dia sekarang sudah mempunyai bentuk badan yang sempurna. Otaknya tumbuh dengan pantas, dan dia semakin memenuhi ruang dalam rahim anda. Dari mercu kepala ke tumit dia berukuran 11.8 inci / 30 sentimeter. Sekiranya pelahiran anda nampak seakan-akan hendak bermula, sudah pasti pakar obstetrik dan doktor akan melakukan segala-galanya untuk menghentikan perjalanan kelahiran pramatang supaya bayi anda boleh terus-menerus matang.

Minggu Ke 25

Berat bayi anda sekarang hampir 1.5 paun / 660 gram dan panjangnya dari mercu kepala ke tumit lebih kurang 13.5 inci / 35 sentimeter. Dia membuat pergerakan bernafas tetapi tidak terdapat udara dalam paru-parunya setakat ini. Pada 26 minggu, skan otak fetus menunjukkan bayi memberi respon terhadap sentuhan. Jika anda menyuluh lampu ke arah abdomen anda, bayi anda akan memalingkan kepalanya, dan mengikut penyelidik, ini bermakna saraf optiknya sudah berfungsi.

Minggu Ke 26

Ukuran bayi anda, apabila mengukurnya dari kepala ke jari kaki sambil meluruskan kakinya, ialah 14 inci / 35.6 sentimeter. Beratnya lebih sedikit dari 1.6 paun / 760 gram. Mata bayi anda mula membuka di sekitar masa ini. Responnya terhadap bunyi-bunyian semakin konsisten menjelang penghujung bulan ketujuh, apabila jaringan saraf-saraf ke telinga sudah siap terbentuk. Di terus menyedut nafas kecil-kecilan dan walaupun dia hanya menyedut air dan bukan udara, ini masih merupakan latihan yang baik untuk dia selepas dilahirkan kelak.

Oleh sebab bayi anda membesar dengan pantas, dan perkembangan otak begitu giat pada masa ini, pemakanan anda adalah amat penting. Teruslah memakan diet seimbang yang merangkumi banyak bijirin dan sayur. Makanan yang kaya dengan sarat, termasuk roti bijian sempurna dan bijirin, kekacang dan beras ceruh mengandung banyak vitamin B dan membantu mencegah sembelit.

Minggu Ke 27

Bayi anda sekarang berat 2 paun / 875 gram dan berukuran 14.5 inci / 36.6 sentimeter dari kepala ke jari kaki. Matanya membuka dan menutup, dan dia tidur dan berjaga mengikut jarak masa yang teratur dan mungkin menghisap jari dan ibu jari.

Mimpi-mimpi manis, si kecil tersayang! Sebilangan pakar percaya yang bayi mula bermimpi menjelang minggu ke-28. Apakah yang mereka mimpikan? Tiada siapa yang tahu dengan pasti tetapi otak mula aktif pada minggu ini juga. Jejalur unik atas permukaan otak mula timbul dan tisu otak bertambah dengan lebih banyak.

Apa yang menyebabkan pergerakan beritma yang anda rasakan sebenarnya ialah sedu-sedan bayi anda, dan ia kerap berlaku pada minggu ini dan sepanjang kehamilan. Bayi anda mengalaminya tetapi menyedut cecair amnion, bukan udara. Sudah tentu beg kertas tidak akan menghilangkan sedunya, namun, sesuatu episod tersedu itu hanya berlanjutan untuk sekejap masa sahaja. Sensasi itu agak aneh bagi anda, tetapi bukanlah merupakan sesuatu yang tidak menyenangkan.

Sumber : Babycenter.com.my dan Mengandung.com

- Sekejapnya masa berlalu……

6 Thoughts on “Perkembangan Bayi Pada Trimester Kedua

  1. wahhh banyak nya info…kalau mcm ni kena beranak pula isteri aku..hahahaha
    Hafizul recently posted..Ragam Anak Yang SolehMy Profile

  2. tak sabar nak tengok adik aiman dan haziq nih. semoga semuanya dipermudahkan ye kak
    eiela recently posted..Dokumentari 3D Pembentukan BabyMy Profile

  3. wah. tahniah k.yan..

  4. tak sabar tunggu 4 bulan lg hikss..
    puanbee recently posted..Diet tips dan testimoni kurus dari @qaqajamalMy Profile

  5. teringat waktu dok ‘mengaji’ dengan wife waktu dia pregnant dulu. huhu
    Ekspresi Ruang recently posted..Nettleton 198 Oleh SAOTA: Kediaman 7 Tingkat Di Lereng Bukit Cape TownMy Profile

  6. Seronok dapat mengetahui perkembangan janin. Kita akan sentiasa tertanya-tanya apalah yang dilakukan sekarang ini.
    akubiomed recently posted..Yang rajin komen di blog AkuBiomed bulan JulaiMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge

Post Navigation