Perkembangan Bayi Dalam Kandungan – Trimester Pertama

Salam, syukur rasa semakin sihat, 1st Trimester Yang Sangat Mencabar telah pun berlalu dengan bermacam-macam cabaran dan dugaan, mengandung kali ke 3 ini saya mengalami alahan yang teruk, yang paling teruk Batuk Ketika Mengandung, Ya Allah seram je kalau nak ingat balik kehkehkeh. Jommmm nak share Perkembangan Bayi Dalam Kandungan – Trimester Pertama Semasa Kehamilan.

1st trimester pregnancy

Pasti ramai ibu-ibu diluar sana teruja bila dapat mengetahui bahawa ada “Nyawa” bersama mereka, lebih-lebih lagi buat mereka yang menanti cahaya mata pertama, sudah pasti setiap masa kalau boleh nak aje tahu perkembangan baby dalam perut dan apa yang sedang baby lakukan, betul tak? tak kurang juga macam saya, mengandung kali ke 3 ni rasa macam nak dapat 1st baby sebab 5 tahun juga Abang Ngah tak “ber-adik” ^___^.

Perkembangan Bayi dalam kandungan, Subahannallah…

Jom ok saya share ye perkembangan bayi dalam kandungan semasa 1st Trimester :-

*Sumber : Babycenter.com

Minggu Pertama
Sebaik saja telur disenyawakan, anda tidak lagi mengalami datang bulan/haid. Hormon-hormon dalam badan akan bersiap sedia untuk melepaskan sel telur tersebut.

Minggu ke 2

Dinding rahim/uterus akan mula menebal dan telah bersedia untuk proses ovulasi.

Minggu ke 3

Minggu ini adalah proses pelepasan telur. Telur dan sperma yang telah disenyawakan di tiub falopio akan mula terbentuk. Di sinilah kehamilan anda bermula. Proses ini mengambil masa 4 hari dan zigot kemudiannya terbentuk.

Minggu ke 4

Terdapat bebola sel – yang kini bergelar embrio – sedang membesar dalam uterus anda dan ia telah mencapai saiz sebesar biji kuaci. Ia mempunyai tiga lapisan yang kemudiannya akan bertukar menjadi organ-organ dan tisu-tisu. Di bahagian bawah di sisi kepalanya, terdapat dua lipatan tisu yang akan menjadi telinga bayi.

Tiub saraf – dari mana otak, tulang belakang dan korda spina akan tumbuh – kini membesar di lapisan atas. Jantung dan sistem peredaran mula menjelma di lapisan tengah. Lapisan ketiga mula menempatkan paru-paru, usus dan sistem urinari yang awal. Dalam pada itu, versi awal plasenta, iaitu vilus korioni dan tali pusat, yang menghantarkan makanan dan oksigen kepada bayi anda, sudah mula berfungsi.

Minggu ke 5

Anda mungkin tidak kelihatan hamil pada masa ini, namun, jantung embrio, yang lebih kecil dari biji kaskas, sudah mula berdenyut dan mengepam darah. Jantung mula membahagi kepada kamar-kamarnya dan dalam sedikit masa akan mendapat ritma denyutan yang baik. Panjang embrio lebih kurang suku inci / setengah sentimeter dan rupanya lebih mirip berudu daripada manusia. Ia membesar secara memecut pada minggu ini.

Organ utama, seperti ginjal dan hati, mula muncul. Tiub saraf, yang menyambungkan otak dan korda spina, akan tutup pada minggu ini. Anggota bawah bayi mula tumbuh – ini akan menjadi tangan dan kaki bayi anda. Usus sedang berkembang dan apendiks bertempat di ruangnya.

Di bawah pembukaan yang akan menjadi mulut bayi anda, lipatan-lipatan kecil muncul yang akan menjadi leher dan rahang bawah bayi. Seawal minggu ini, raut muka sudah mula terbentuk. Lubang hidung lebih kelihatan dan versi terawal retina mata mula timbul.

Minggu ke 6

Saiz embrio sebesar kacang dhal di minggu ini. Sekiranya anda boleh melihat ke dalam tubuh anda, anda akan mendapati bahawa kepala fetus lebih besar daripada badannya. Raut muka embrio sedang membentuk dan terdapat bintik hitam di mana matanya patut berada, juga terdapat pembukaan-pembukaan di tempat lubang hidung, dan lubang-lubang yang menandakan telinga.

Kudup-kudup membonjol menjadi lebih kelihatan sekarang dan ini akan menjadi tangan dan kaki. Tangan dan kaki embrio seakan-akan dayung. Perkembangan lain termasuk pertumbuhan kelenjar pituitari dan gentian otot. Anda belum dapat mendengarnya, tetapi jantung (yang kini terbahagi kepada kamar kanan dan kiri) berdenyut sekitar 150 denyut per minit – dua kali ganda kadar denyutan anda.

Pada pertengahan minggu ini, embrio mula membuat pergerakan-pergerakan pertamanya. Walau bagaimanapun, anda terpaksa menunggu sehingga satu masa dalam trimester kedua sebelum dapat menikmati sensasi dari sesi-sesi senaman bayi anda.

Minggu ke 7

Sekarang panjang embrio dalam setengah inci / 1.25 sentimeter, saiz sebiji anggur, dan ia mempunyai jari tangan dan jari kaki yang jelas, namun berselaput. Ia seakan-akan biji kacang yang berlompat-lompat, memecut dan berhenti, kemudian memecut semula. Hati bayi terus mengeluarkan jumlah sel darah merah yang banyak sementara menunggu sumsum mengambil alih peranan ini.

Minggu kelapan menandakan permulaan tahap perkembangan yang amat giat. Antara minggu ini dan minggu ke-20 bayi anda membesar dengan pantas, dan bahagian tubuh badan yang terbentuk semasa minggu-minggu pertama kehidupannya (seperti jantung dan otak) mula berkembang dan menjadi lebih khusus dan rumit. Pada masa ini, gigi dan lelangit sedang membentuk, manakala telinga terus berkembang. Kulit fetus amat nipis, dan saluran darah jelas ternampak.

Anda sekarang berada dalam keadaan geliang-geliut trimester pertama, di mana ramai wanita berungut tentang ketidakselesaan dan sakit-sakit. Anda mungkin tak dapat menahan muntah, sebab anda sedang menghidapi mabuk hamil, sebahagian daripada akibat hormon-hormon kehamilan dalam badan anda. Anda mungkin terasa hendak kencing lebih kerap dari biasa – uterus anda yang berkembang menekan pundi kencing anda, dan hormon juga menjejaskan imbangan cecair dalam badan anda. Semua ini akan berkurangan apabila kehamilan anda berlanjutan.

Minggu ke 8

Tahniah – embrio anda sekarang bergelar fetus, yang bermakna ‘zuriat’. Uterus anda meregang untuk memuatkan penghuni baru ini, yang sekarang berukuran sekitar 0.6 inci / 1.6 sentimeter. Banyak perubahan berlaku pada minggu ini – ekor embrio telah hilang, dan semua organ, otot dan saraf mula berfungsi. Sekarang tangan boleh dibengkokkan di pergelangannya, dan jari kaki yang berselaput dahulu beransur hilang. Kelopak mata mula menutupkan mata.

Kehamilan anda mula menukar bentuk badan anda juga. Payudara anda mungkin membesar sehingga anda memerlukan bra yang boleh menyangga dengan lebih kuat daripada bra lama. Anda akan menyedari yang ukuran pinggang anda mula bertambah, sehingga anda terpaksa menyimpan jean kegemaran anda sehingga tahun depan. Jika anda banyak meminum air mengandungi flourida – lapan gelas atau lebih sehari – anda sudah tentu mendapat cukup flourida dan ini akan mengintegrasikan kalsium dan fosforus dengan kukuh ke dalam gigi dan tulang bayi anda yang sedang berkembang itu.

Minggu ke 9

Menjelang minggu kehamilan yang ke-10, anda mungkin merasakan yang anda sedang menaiki roller coaster emosi, kadang kala merasa serba tak kena dan pada masa lain merasa amat gembira. Walaupun ini mengganggu setengah wanita yang menganggapkan mereka cekap mengawal perasaan, apa yang anda lalui adalah normal dan mungkin akan berlarutan sepanjang kehamilan. Emosi turun-naik disebabkan hormon-hormon yang menyemarak.

Di penghujung minggu, panjang fetus anda di sekitar 0.9 inci / 2.3 sentimeter. Dari segi bentuk dan saiz, rupanya mirip lenggai kacang pea. Kelopak mata bercantum dan tidak akan buka sehingga 27 minggu kehamilan. Pergelangan tangan lebih matang, pergelangan kaki sudah nyata dan jari kaki kelihatan jelas. Lengan semakin memanjang dan boleh dibengkokkan di siku. Menjelang akhir minggu, butiran dalaman telinga sudahpun sempurna. Walaupun anda belum lagi dapat menentukan jantina fetus melalui ultrasound, alat kelaminnya sudah mula terbentuk. Kini plasenta telah cukup matang dan mampu menyokong hampir semua tugas mengeluarkan hormon yang kritikal.

Minggu ke 10

Fetus hanya sepanjang 1.2 inci / 3 sentimeter dari mercu kepala ke punggung dan beratnya kurang dari satu per enam auns / 4 gram. Walaupun begitu, ia tetap giat menelan dan menendang. Setiap hari banyak butiran kecil mula muncul, seperti kuku jari dan rambut yang kelabu seperti bulu.

Organ penting – hati, ginjal, usus, otak dan paru-paru – telah terbentuk lengkap dan berfungsi, manakala kepala berukuran hampir setengah daripada ukuran panjang sepenuh badan. Dahi terbonjol buat sementara dan bertempat tinggi di kepala, tetapi akan kemudian bertukar dan kelihatan lebih mirip raut manusia.

Jika anda dapat melihat bayi anda pada minggu ini, anda akan nampak rangka spina atau tulang belakang. Saraf spina menjalar keluar dari korda spina.

Uterus anda sekarang adalah sebesar limau gedang. Dengan bantuan Doppler, stetoskop tangan gelombang bunyi, anda akan dapat mendengar denyutan jantung fetus yang pantas – seorang ibu hamil menyamakannya dengan bunyi kuda-kuda kecil menderap.

Jika anda belum lagi melakukannya, anda sepatutnya jangan berlengah untuk membuat janji temu dan menempah tarikh untuk pengambilan darah bagi ujian-ujian rutin.

Minggu ke 11

Anda hampir sampai ke penghujung trimester pertama. Banyak dari perkembangan kritikal bayi akan selesai dalam dua minggu lagi, dan kemungkinan keguguran akan berkurangan secara ketara.

Diukur dari mercu kepala ke punggung, fetus 1.5-inci / 4-sentimeter anda mempunyai semua bahagian-bahagiannya, dari kudup gigi ke kuku jari kaki. Bayi anda sibuk menendang dan meregang pergerakan-pergerakannya amat lemah-gemalai sehinggakan seperti balet air. Jari-jari tangan dan kaki sudah terpisah sepenuhnya. Kini, tugas utama fetus dalam tempoh enam bulan ke hadapan ialah untuk terus membesar dan menjadi semakin kuat sehingga ia boleh meneruskan kehidupan secara bersendirian di luar rahim.

Satu garisan pigmen gelap yang menegak linea nigra, mungkin akan muncul di abdomen anda. Uterus anda sudah naik dan mengatasi tulang pelvis anda dan sekarang doktor anda akan boleh merasanya semasa pemeriksaan luaran.

Minggu ke 12

Muka bayi anda lebih mirip rupa manusia, walaupun panjangnya dari mercu kepala ke punggung hanya sekitar 2 inci / 5.5 sentimeter dan beratnya kurang sedikit dari setengah auns / 14 gram. Matanya, yang pada mulanya muncul di sisi kepala, telah berganjak dan lebih rapat. Telinga hampir sampai ke posisi normal di sisi kepala. Hati mengeluarkan hempedu dan ginjal mengalirkan kencing ke dalam pundi kencing.

Jika abdomen anda ditusuk-tusuk, fetus akan bergeliang-geliut, walaupun anda tidak akan terasa pergerakan ini. Sel-sel saraf fetus sedang giat membiak dan sinaps-sinaps (penghubung saraf dalam otak anda) sedang terbina. Fetus telah memperolehi lebih banyak refleks: jari tertutup jika tapak tangan disentuh, jari kaki bergulung ke bawah jika tapak kaki disentuh dan jika disentuh kelopak mata, otot mata akan menggenggam.

*Nanti saya share Perkembangan Bayi pada Trimester ke 2 dan ke 3

- Alhamdulillah saya sudah melepasi Trimester Pertama ^___^

5 thoughts on “Perkembangan Bayi Dalam Kandungan – Trimester Pertama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge